Pendahuluan
Pada kali ini isu semasa yang akan diketengahkan adalah berkaitan pemakaian tudung kaum wanita masa kini sebagai renungan bagi wanita Islam. Polemik berkaitan adakah tudung wanita muslim menyerupai biarawati kristian menjadi topik yang hangat sejak kebelakangan ini. Untuk merungkai misteri terhadap persoalan ini, saya himpunkan catatan dan nukilan ulamak-ulamak terkenal yang memperjelaskan isu ini agar ia sedikit sebanyak dapat memberikan sedikit ilmu pengetahuan kepada kita. Selain daripada itu, himpunan garis panduan dan syariat Islam juga turut diketengahkan agar dapat kita memahami keindahan SURUHAN Allah S.W.T kepada umat Islam.
Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.
Trend Masakini
Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namunpemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untukmengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.
Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian bolehmelindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Sejarah Tudung
Dengan berlalunya masa, kemerosotan iman dan penghayatannya berlaku di kalangan umat Islam. Penjajah pemikiran dan sekutunya bertungkus-lumus menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar. Antara usaha mereka adalah menanggalkan tudung dari kepala wanita Islam. Mereka berjaya meyakinkan wanita bahawa untuk maju, mereka harus mengikut budaya Barat dan bebas daripada penindasan agama melalui cara berpakaian. Cara hidup sekular dan propaganda pembebasan wanita pun dimainkan.
Corak serangan MINDA danGAYA kehidupan telah dirancang oleh musuh-musuh ISLAM melalui NGO’s yang berpaksikan KEBEBASAN HAK ASASI MANUSIA. Berselindung demi AGENDA jahat mereka yang tidak kenal erti penat dan rasa jemu untuk merosakkan AKIDAH dan pegangan umat Islam. Kita perlu bangkit dan membangun bersama semua umat Islam untuk bersatu menepis dakyah-dakyah dan muslihat mereka dari mencengkam minda dan jiwa kita.
Jangan meniru amalan agama lain
Mengenai penyerupaan/ peniruan kepada orang kafir, Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda; “Sesiapa menyerupai satu kaum, ia dari kaum tersebut “ (HR Imam Abu Daud dari Ibnu Umar). Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini merupakan larangan kerasterhadap perbuatan meniruorang kafir sama ada dalamucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan sebagainya yang tidak disyariatkan untuk kita (umat Islam). (Lihat; Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 104).
Namun para ulamak menjelaskan; maksud peniruan/ penyerupaan kepada orang kafir atau orang fasik yang dilarang ialah yang KHUSUS bagi sesuatu kaum kafir atau fasiq iaitu yang menggambarkan identiti mereka, seperti; salib (yang melambangkan agama kristian), sabit dan penukul (lambang komunis), lambang nazi, pakaian-pakaian orang fasiq (seperti gaya berpakaian artis-artis Barat), gaya-gaya rambut orang fasik dan sebagainya.
Adapun pakaian yang dipakai oleh orang ramai tanpa mengira agama dan bangsa seperti seluar, baju kemeja, kot dan sebagainya atau berlaku kesamaan/ keserupaan secara kebetulan seperti jubah litup yang dipakai oleh imam-imam, ulamak-ulamak dan dipakai juga oleh paderi-paderi Kristian dan Yahudi, kopiah yang dipakai oleh orang-orang Islam dan turut dipakai oleh sebahagian penganut bukan Islam (seperti orang Yahudi), tudung kepala (yang turut dipakai juga oleh paderi-paderi wanita kristian) dan sebagainya, penyerupaan/ kesamaan secara UMUM atau kebetulan ini tidaklah termasuk dalam larangan hadis kerana ia bukan bersifat khusus bagi sesuatu kaum kafir atau melambangkan identiti agama mereka.
Cara membezakan pemakaian tudung
Untuk memudahkan kita membezakan bentuk penyerupaan yang harus dan yang tidak harus dalam kehidupan seharian maka di bawah ini dikemukan beberapa dhabit yang diberikan oleh ulamak ;
- Berkata Imam al-Qurthubi; “Jika suatu pakaian telah menjadiidentiti khusus bagi golongan fasik atau golongan yang suka berpoya-poya, dilarang orang lain memakainya“ (Faidhul-Qadier, 6/104).
- “Semua jenis pakaian yang boleh menimbulkan tanggapankepada orang yang melihat bahawa si pemakainya adakah kafiratau dari kelompok fasik, maka ia adalah penyerupaan yangdilarang agama” (Syeikh Abdul-Wahhab Tawilah).
- “Yang dikehendaki dengan menyerupai orang-orang kafir yangdilarang itu ialah menyerupai mereka dalam perkara yang menjadiidentiti khusus mereka dalam adat-adat (kebiasaan-kebiasaan hidup) dan menyerupai mereka dalam perkara-perkara yang direka mereka dalam agama mereka merangkumi urusan-urusan aqidah dan ibadah-ibadah mereka” (Majlis Fatwa Arab Saudi, 3/307).
- “Cara untuk menilai penyerupaan (yang dilarang) ialah; orang yang meniru/ menyerupai ia melakukan suatu perbuatan yang menjadi identiti khusus orang yang ditiru. Maka maksud menyerupi orang-orang kafir (yang ditegah agama) ialah seorang muslim melakukan sesuatu yang menjadi identiti khusus orang-orang kafir. Adapun perkara yang telah tersebar di kalangan orang-orang Islam dan tidak lagi menjadi ciri-ciri khusus orang kafir, ia tidaklah dikira penyerupaan dengan mereka. Maka ia tidaklah diharamkan kerana faktor penyerupaan walaupun mungkin diharamkan kerana faktor yang lain” (Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin).
- Merujuk kepada persoalan UTAMA di atas, apakah tudung yang dipin ke belakang itu benar-benar menyerupai biarawati kristian?, persoalan ini perlulah diselidiki lebih lanjut. Namun secara zahirnya, di Malaysia ini wanita-wanita Islam yang memakai tudung sebegitu tidaklah dilihat oleh orang lain sebagai biarawati kristian atau orang yang ingin meniru mereka. Ia mungkin berlaku secara kebetulan. Oleh itu, pada pandangan saya ia tidaklah boleh kita anggap sebagai menyerupai biarawati Kristian secara dasarnya. Namun dari segi pemakaian tudung, hendaklah dipastikan ia mematuhi ciri-ciri tudung yang ditetapkan Allah S.W.T.
Tudung dan Syariat
Isu tudung tidak seharusnya menjadi polemik dalam masyarakat. Ia bukan soal etika berpakaian. Bagi Muslim, menutup aurat adalah perintah agama yang WAJIB dilaksanakan. Orang yang menggunakan ayat Allah dalam permulaan Surah Al Baqarah ayat 256 yang bermaksud “Tiada paksaan dalam agama..…” sebagai sandaran tidak boleh menguatkuasakan perintah bertudung telah melakukan kebatilan dalam agama. Memang benar tiada paksaan dalam menganut agama Islam. Namun, setelah yakin Islam adalah ajaran hidup yang benar, semua umat Islam tidak terkecuali daripada menjalankan peritah Allah S.W.T secara keseluruhannya sebagaimana firmanNYA dalam surah yang sama pada ayat awal dari surah Al Baqarah ayat 208 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu.”
Peri hal kewajiban menutup aurat telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah S.W.T dalam surah An Nur ayat 31 bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka;”
Cara Menutup Aurat – Panduan Syariat
Al Quran dan As Sunnah tidak memperincikan bentuk atau warna hijab atau tudung (sebahagian makna dari hijab), mahupun pakaian yang harus digunakan oleh wanita Muslim. Namun, ulama memberikan garis panduan cara berpakaian mengikut landasan syariat. Antaranya ialah:
- Tiada bentuk atau fesyen tertentu bagi pakaian wanita Islam;
- Pakaian mestilah menutup seluruh anggota aurat dengan sempurna;
- Pakaian mestilah longgar dan tidak nipis supaya tidak menonjolkan susuk tubuh;
- Tidak dengan tujuan untuk bermegah seperti memakai pakaian yang melampau mahalnya, fesyen dan warna yang ketara sehingga membezakannya dengan orang lain dan menarik perhatian;
- Tidak terlampau zuhud dengan memakai pakaian yang terlalu lusuh sehingga menimbulkan ujub dalam diri,
- Tidak menyerupai pakaian lelaki .
Kesimpulan
Pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syarak. Ia bukanlah isu pilihan peribadi dan mengenai hak asasi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong. Tudung juga tidak boleh dianggap sebagai adat budaya orang Melayu sahaja dalam konteks Malaysia ini. Orang Melayu dulu memakainya kerana agama Islam yang mereka anuti. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syaraknya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperbetul dan diperhebatkan.
Ini adalah perlu sebab ramai antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, samada oleh individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentangkewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syarak. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syarak dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi dalam masyarakat, tegur-menegur atas kebaikan, khususnya dalam isu pemakaian tudung dan pakaian menutup aurat yang betul akan berleluasa dan rahmat Islam akan menyelubungi seluruh umat.
0 comments:
Post a Comment